Skip to content
Coach Ir. Wan
Coach Ir. Wan

Project Management Mastery

  • About Me
  • Blog
  • Trainings
  • Signature Work
Coach Ir. Wan
Coach Ir. Wan

Project Management Mastery

ilustrasi konsep WBS projek berasaskan deliverable dalam program kerja

Deliverable-Based WBS: Asas Yang Selalu Diabaikan

Coach Ir. Wan, 26/02/202626/02/2026

Apabila membincangkan program kerja, jarang sekali tumpuan diberikan kepada Deliverable-Based WBS atau struktur WBS projek berasaskan hasil kerja. Kebanyakan perbincangan lebih tertumpu kepada hubungan antara aktiviti, laluan kritikal dan teknik kemas kini kemajuan.

Namun sebelum semua itu, persoalan yang lebih asas perlu ditanya:

Bagaimana projek itu distrukturkan?

WBS Projek Bukan Senarai Aktiviti

Work Breakdown Structure (WBS) ialah pendekatan hierarki yang memecahkan skop projek kepada komponen yang lebih terkawal dan boleh dipertanggungjawabkan.

Work B ialah pendekatan hierarki yang memecahkan skop projek kepada komponen yang lebih terkawal dan boleh dipertanggungjawabkan.

Namun dalam amalan, WBS projek sering direndahkan fungsinya menjadi sekadar senarai aktiviti yang disusun mengikut trade atau urutan kerja.

Pendekatan sedemikian mungkin memudahkan penyediaan jadual, tetapi ia tidak semestinya mencerminkan struktur sebenar projek.

Dalam konteks projek awam, struktur WBS bukan sekadar pilihan teknikal — ia berkait rapat dengan apa yang dinilai dalam program kerja JKR dari sudut governance. Struktur inilah yang membolehkan kemajuan ditafsir secara objektif dan risiko dikenal pasti secara berperingkat.

Deliverable-based WBS menuntut supaya projek dipecahkan berdasarkan hasil fizikal atau komponen sebenar yang akan disiapkan. Ia bukan sekadar susunan kerja mengikut disiplin atau fasa masa, tetapi gambaran hierarki terhadap apa yang benar-benar terbina di tapak.

Perbezaannya boleh dilihat melalui contoh berikut.

❌ WBS berasaskan aktiviti:

  • Kerja tanah
  • Kerja konkrit
  • Kerja bata
  • Kerja kemasan

Struktur seperti ini mengelaskan jenis kerja, tetapi tidak menunjukkan bagaimana komponen fizikal projek dibentuk secara menyeluruh.

✔ WBS berasaskan deliverable (hasil kerja):

  • Blok A
    → Struktur
    → Dinding
    → Bumbung
  • Blok B
    → Struktur
    → Dinding
    → Bumbung

Struktur kedua ini memecahkan projek mengikut unit fizikal yang jelas. Setiap blok mempunyai identiti tersendiri, dan kemajuan boleh dikaitkan terus kepada bahagian sebenar yang telah siap atau masih tertangguh.

Apabila hierarki ini dibina dengan ketelitian dan kejelasan struktur, jadual tidak lagi sekadar senarai kerja. Ia menjadi gambaran teratur kepada komponen fizikal projek yang boleh diukur, dianalisis dan dipertanggungjawabkan.

Tanpa asas struktur yang jelas, bilangan aktiviti mungkin banyak — tetapi keupayaan untuk mentafsir kemajuan dan mengenal pasti risiko menjadi terhad.

Perbezaan ini mungkin kelihatan kecil pada peringkat penyediaan jadual. Namun kesannya menjadi lebih ketara apabila projek memasuki fasa pelaksanaan dan pemantauan.

Mengapa Struktur Menentukan Kualiti Kawalan

Struktur WBS bukan sekadar cara menyusun aktiviti dalam jadual.
Ia menentukan kualiti kawalan yang boleh dilaksanakan sepanjang projek.

Apabila struktur dibina berasaskan hasil kerja, jadual menjadi lebih daripada susunan aktiviti — ia menentukan sejauh mana kawalan boleh dilaksanakan secara berkesan.

Tanpa struktur yang jelas, pemantauan cenderung bergantung kepada peratus dan angka, bukan kepada kedudukan sebenar projek.

Dimensi kawalan ini dapat dilihat melalui beberapa aspek berikut.

1. Kejelasan Skop

Apabila WBS projek dibina berasaskan deliverable, setiap komponen fizikal mempunyai kedudukan yang jelas dalam hierarki jadual.

Ini membolehkan soalan asas dijawab dengan objektif:

  • Komponen mana sudah siap?
  • Komponen mana sedang lewat?
  • Komponen mana memberi kesan kepada tarikh siap keseluruhan?

Saya pernah menyemak satu jadual yang pada zahirnya kelihatan sistematik — setiap trade mempunyai senarai aktiviti tersendiri. Namun apabila diteliti, tiada pemisahan jelas antara komponen utama projek. Struktur tidak menunjukkan dengan tepat bahagian mana yang membentuk satu unit fizikal yang lengkap.

Jadual itu kelihatan teratur.
Tetapi dari sudut kawalan, ia tidak memberi gambaran sebenar tentang kemajuan komponen projek.

2. Ketepatan Pengukuran Kemajuan

Kemajuan fizikal sepatutnya selari dengan struktur fizikal projek.

Apabila WBS projek tidak jelas, peratus kemajuan menjadi terlalu umum — contohnya “Kerja Struktur 80% siap” tanpa jelas komponen mana yang telah selesai.

Sebaliknya, deliverable-based WBS membolehkan kemajuan diukur pada tahap komponen:

  • Struktur Blok A – 100%
  • Struktur Blok B – 60%

Maklumat ini jauh lebih bermakna untuk tujuan kawalan dan pelaporan.

Tanpa struktur yang jelas, peratus kemajuan boleh mengelirukan dan tidak semestinya mencerminkan kedudukan sebenar projek — satu isu yang saya kupas dalam artikel mengenai mengapa 10% lewat tidak semestinya projek lewat.

3. Ketelusan Laluan Kritikal

Laluan kritikal tidak wujud secara terasing. Ia terbentuk daripada struktur aktiviti yang dibina pada peringkat awal.

Apabila struktur WBS tidak konsisten, laluan kritikal boleh tersembunyi dalam hierarki yang bercampur antara trade, zon dan fasa masa.

Dengan struktur yang jelas:

  • Laluan kritikal lebih mudah dikesan.
  • Risiko kelewatan lebih mudah dikenal pasti.
  • Impak perubahan lebih mudah dianalisis.

Struktur yang baik tidak menjadikan jadual lebih kompleks.
Ia menjadikan analisis lebih telus.

4. Kebolehan Jejak Dalam Analisis Kelewatan

Dalam realiti projek, isu kelewatan hampir pasti tidak dapat dielakkan.

Jadual yang dibina berasaskan deliverable-based WBS memudahkan:

  • Pengenalpastian komponen terjejas
  • Penyediaan analisis lanjutan masa (EOT)
  • Penilaian kesan terhadap tarikh siap

Tanpa struktur yang konsisten, analisis menjadi sukar dan sering bergantung kepada tafsiran dan andaian.

Dalam konteks governance, kebergantungan kepada andaian bukan sekadar kelemahan teknikal. Ia adalah risiko pengurusan.

Pola Kesilapan Yang Sering Berlaku

Beberapa pola yang kerap saya lihat:

  1. WBS projek dibina mengikut cara paling mudah menaip dalam perisian.
  2. Struktur WBS terlalu cetek, dengan kebanyakan aktiviti hanya berada di bawah satu atau dua tahap tanpa pecahan komponen fizikal yang jelas.
  3. Tiada pemisahan jelas antara komponen utama projek.
  4. Summary task digunakan tanpa disiplin hierarki yang konsisten.

Secara teknikal, jadual itu mungkin boleh berfungsi.

Tetapi dari sudut kawalan, ia tidak stabil.

Jadual mungkin lengkap dari segi bilangan aktiviti, tetapi tanpa struktur yang konsisten, ia sukar berfungsi sebagai alat kawalan projek.

Model Hierarki Yang Lebih Kukuh

Struktur yang lebih berdisiplin biasanya mengikuti hierarki seperti berikut:

Projek
→ Komponen
→ Sub-Komponen
→ Work Package
→ Aktiviti

Setiap level mempunyai fungsi kawalan tersendiri:

  • Komponen: Memisahkan skop utama.
  • Sub-Komponen: Memperincikan bahagian fizikal.
  • Work Package: Unit kawalan yang boleh diurus.
  • Aktiviti: Tindakan spesifik yang boleh dijadualkan dan diukur.

Apabila hierarki ini jelas, struktur menjadi asas kepada sequencing yang lebih bermakna.

Apabila Struktur Dibetulkan

Saya pernah terlibat dalam sesi semakan jadual di mana fokus awal adalah pada hubungan aktiviti dan laluan kritikal.

Namun selepas beberapa perbincangan, kami memutuskan untuk menyusun semula WBS projek berdasarkan deliverable sebenar projek.

Menariknya, sebaik sahaja struktur diperbetulkan:

  • Beberapa isu hubungan aktiviti menjadi jelas.
  • Laluan kritikal berubah.
  • Risiko yang sebelum ini tersembunyi mula kelihatan.

Di situlah saya melihat sendiri bahawa kawalan sebenar bermula bukan pada hubungan aktiviti — tetapi pada struktur.

Perubahan Paradigma

Ramai memberi perhatian kepada:

  • Kemahiran perisian
  • Cara linking aktiviti
  • Format laporan

Tetapi sedikit yang memberi perhatian kepada struktur sebelum menentukan hubungan aktiviti.

Jadual yang dibina tanpa disiplin struktur umpama bangunan tanpa lukisan pembinaan.

Ia mungkin berdiri.

Tetapi kestabilannya dipersoalkan.

Deliverable-Based WBS Sebagai Asas Kawalan Jadual Projek

Kesimpulannya, isu struktur bukan sekadar teknikal.

Ia menentukan sama ada jadual benar-benar mencerminkan komponen fizikal projek atau sekadar menyenaraikan aktiviti.

Apabila WBS projek distrukturkan berasaskan hasil kerja yang jelas, kemajuan menjadi lebih telus dan risiko lebih mudah dikenal pasti. Tanpa disiplin ini, jadual mungkin lengkap — tetapi kawalannya lemah.

Dalam projek awam, perbezaan ini menentukan sama ada jadual digunakan untuk mengawal… atau sekadar untuk memenuhi kehendak kontrak (mengemukakan program kerja untuk kelulusan Pegawai Penguasa).

Governance Insight (Executive Summary)

A Work Breakdown Structure is more than a planning tool.

When built around physical deliverables, it defines how clearly a project can be controlled, measured, and defended.

A deliverable-based WBS strengthens:

  • Transparency in progress reporting
  • Credibility of the critical path
  • Clarity in identifying risk exposure

Without structural discipline, even a detailed schedule may fail to provide meaningful control.

In public infrastructure governance, structure is not cosmetic.

It determines whether a schedule serves as a meaningful control tool — or remains a document prepared primarily to comply with the contractual condition requiring submission for approval.

Scheduling Governance DeliverableJadual ProjekKawalan ProjekProject GovernanceWBS

Post navigation

Previous post
Next post

Leave a Reply Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

©2025 Coach Ir. Wan | Privacy Policy | Contact Us
©2026 Coach Ir. Wan | WordPress Theme by SuperbThemes